Latar Belakang

MyJARIAH.com adalah sebuah portal yang ditubuhkan melalui kerjasama antara Pertubuhan Kebajikan Jariah Annur dengan Jariah Annur Agency. Portal ini ditubuhkan bagi tujuan menjalankan satu projek amal iaitu melalui kegiatan ekonomi untuk mengumpul dana bagi menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan yang diuruskan oleh Pertubuhan Kebajikan Jariah Annur.

Pertubuhan Kebajikan Jariah Annur adalah sebuah Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) manakala Jariah Annur Agency adalah sebuah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Jariah Annur Agency adalah wakil takaful yang berdaftar dengan Etiqa Takaful, Takaful Ikhlas, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan MyEG.

En. Zohairi Bin Hamzah selaku Pengurus Jariah Annur Agency adalah Penolong Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Jariah Annur merangkap Ketua Biro Ekonomi dalam NGO ini. Jariah Annur Agency ditubuhkan untuk membantu Pertubuhan Kebajikan Jariah Annur mengumpul dana kebajikan melalui kegiatan ekonomi yang dijalankan iaitu perkhidmatan memperbaharui takaful dan roadtax.

Sehubungan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak bagi menjayakan projek amal ini pada 15 Disember 2018. Melalui MoU tersebut, Jariah Annur Agency yang menjalankan kegiatan ekonomi melalui perkhidmatan memperbaharui takaful kenderaan dan roadtax akan menyalurkan semua keuntungan bersih (setelah ditolak kos operasi) daripada hasil kegiatan ekonomi tersebut kepada dana Pertubuhan Kebajikan Jariah Annur.

Selaras dengan pengertian MyJARIAH yang membawa maksud ‘Jariah Saya’, adalah diharapkan semoga portal ini akan menjadi wadah kepada kita semua untuk saling bantu membantu menjayakan projek amal ini.

      

Majlis menandatangani MoU antara Pertubuhan Kebajikan Jariah Annur dan Jariah Annur Agency pada 15 Disember 2018.